WAKIL RAKYAT BOLEH DILUCUT KELAYAKAN

KUALA LUMPUR 11 Jun – Mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat 24 Jun ini tanpa alasan munasabah dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu boleh dilucut atau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan.

Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia merujuk sikap pembangkang khususnya wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menyifatkan tindakan tidak hadir dalam majlis angkat sumpah dengan sengaja itu sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, Parlimen dan semua institusi berkenaan, Pandikar Amin berkata, Parlimen juga akan menentukan tindakan lain bersabit kesalahan tersebut.

“Jika tidak datang hari pertama, bukankah itu satu penghinaan kepada sistem Parlimen. Mengapa pula mahu angkat sumpah hari lain? Kalau buat begitu, saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat juga boleh memboikot hari mereka mahu angkat sumpah. Mungkin Timbalan-timbalan saya juga akan boikot sama.

“Sewenang-wenang mahu angkat sumpah hari berbeza, apa guna kita ada sistem kalau tidak dipatuhi? Apakah Yang Dipertua kena menyediakan masa khas untuk mereka angkat sumpah? Peraturan mesyuarat mana itu? Janganlah semuanya mahu dipolitikkan. Nasihat saya, semua Ahli Parlimen harus angkat sumpah pada hari pertama sidang berdasarkan Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis taklimat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat, Majlis Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen kerana mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut Pandikar Amin, kegagalan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat menyebabkan seseorang Ahli Parlimen tidak dibenarkan menyertai atau mengambil bahagian dalam sidang dewan.

Menurut beliau, hari pertama Dewan Rakyat penting kerana sidang dewan akan melaksanakan urusan berikut :

n Memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat;

-Yang Dipertua Dewan Rakyat mengangkat sumpah;

-Ahli-ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah;

-Memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat;

– Usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu-lalang kepada ahli-ahli dewan.

“Lima perkara itu cukup penting untuk melicinkan perjalanan sesi Dewan Rakyat. Oleh itu, apa perlu Ahli Parlimen memboikotnya? Jika yang tidak dapat hadir, perlu nyatakan sebab munasabah seperti faktor kesihatan,” tambahnya.

Mengenai langkah-langkah keselamatan sesi baharu Dewan Rakyat, katanya, soal keselamatan akan ditingkatkan bagi mengelak perkara-perkara tidak diingini termasuk kejadian menyamar sebagai pegawai kepada orang kenamaan tertentu yang berlaku dalam sesi sebelum ini.

Kepada soalan berhubung tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir dalam sesi taklimat berkenaan kecuali Ahi Parlimen DAP, Er Teck Hwa, katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sesi taklimat tersebut bertujuan memudahkan urusan wakil rakyat.

“Kalau hormati Parlimen, harus datang. Kalau yang tiada urusan penting lain, atas alasan apa (tak datang)? Hari ini kita sediakan banyak perkara dan tindakan mereka yang tidak hadir akan menyulitkan lagi usaha-usaha yang kita buat di Parlimen,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s