1TNB

1TNB angkat imej organisasi

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak yakin enam Bidang Keberhasilan Utama di bawah Program Transformasi 1Tenaga Nasional Berhad (1TNB) mampu mengangkat maruah dan imej organisasi berkenaan ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, program transformasi 1TNB itu yang dilancarkan semalam, merangkumi usaha menambah baik hubungan dengan pihak kawal selia serta melangkaui kepuasan pelanggan.

Fokus urusan kos, operasi

Selain itu, ia memfokuskan usaha mengurus kos dan operasi secara lebih efisyen; meluaskan perniagaan baharu; mentransformasi organisasi serta memperkukuh keupayaan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Kita mesti pastikan wujudnya budaya kecemerlangan dalam organisasi, maknanya kita mesti memburu kecemerlangan, kita mesti sentiasa efisyen mengurangkan kos dan mencari peluang perniagaan (baharu). Jangan lupa integriti sebab segala-galanya tiada makna kalau tiada integriti, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB bersama Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini.

Yang hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Timbalannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Azman Mohd.
Kira-kira 3,000 warga kerja TNB menghadiri majlis itu, di samping lebih 20,000 lagi menyaksikan majlis dan mendengar amanat Najib melalui sidang video yang dipancarkan ke pejabat syarikat berkenaan di seluruh Semenanjung dan Sabah.

Terdahulu ketika memulakan ucapannya, Najib berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas dan perjalanan Malaysia untuk menjadi negara maju mungkin tinggal sebagai impian jika satu daripada fundamental negara iaitu bekalan elektrik terjamin dengan harga kompetitif tidak diutamakan.

Kenaikan harga bahan api

Beliau turut menjelaskan keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik pada Januari lalu kerana didorong oleh kenaikan harga bahan api di pasaran dunia, sekali gus turut menuntut pelarasan subsidi tarif disemak semula.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah sedemikian juga dibuat bagi memastikan TNB terus kukuh sejajar usaha kerajaan mahu menjamin bekalan tenaga elektrik negara mencukupi, selain mengelakkan syarikat utiliti itu kemungkinan mengalami kerugian.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s