RENCANA : DIPLOMASI PANDA

AKHIRNYA Fu Wa dan Feng Yi iaitu dua ekor panda gergasi China yang dipinjamkan kepada Malaysia melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi, tiba di Lapang­an­ Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.

Tidak menghairankan jika banyak pihak yang menjangkakan penghantaran kedua-dua ekor panda tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat ekoran tempias kehilangan penerbangan MH370 yang sebahagian besarnya melibatkan penumpang dari China.

Andaian sinis tersebut terbentuk kerana Beijing telah menangguhkan tarikh ketibaan asal pada 15 April lepas dengan berlandaskan alasan bahawa keadaan semasa yang begitu sensitif terutama sekali yang berkait dengan MH370.

Memang benar ketibaan kedua-dua ekor panda dari pangkalan panda di Dujiangyan, Chengdu melalui penerbangan khas MH6462 adalah signifikan kerana 2014 merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Bei­jing. Tetapi Fu Wa dan Feng Yi membawa maksud tersirat yang lebih mendalam jika suasana geopolitik rantau Asia Pasifik diambil kira.

Bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa China sejak enam dekad lepas telah menggunakan panda sebagai pemudah cara untuk berurusan dengan negara lain.

Pada 1957, pemimpin tertinggi China, Mao Tse-Tung menghadiahkan seekor panda kepada Rusia sebagai tanda penghargaan kepada Moscow yang telah mengiktiraf Republik Rakyat China sebagai negara berdaulat.

Diplomasi panda memasuki fasa penting pada 1972 apabila China menghadiahkan Ling-Ling dan Hsing-Hsing kepada Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden Richard Nixon melakukan lawatan rasmi ke Beijing sebagai permulaan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Jika Ling-Ling dan Hsing-Hsing dianggap simbol hubungan diplomatik Sino-AS maka perkara yang serupa boleh dium­pamakan dengan hubungan Sino-Anglo yang mempunyai pasangan panda Chia-Chia dan Ching-Ching yang dihadiahkan sempena lawatan Perdana Menteri Edward Heath ke China pada 1974.

Oleh kerana pada ketika ini terdapat hanya kira-kira 1,600 panda sahaja yang hidup di luar kurungan, maka setiap negara yang menjadi sasaran bentuk diplomasi ini berada dalam keadaan yang agak istimewa.

Ada ketika juga China telah mengamalkan diplomasi panda secara songsang, iaitu panda sebagai senjata ugutan diplomatik. Pada 2010, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tidak mengendahkan permintaan Beijing supaya tidak bertemu dengan Dalai Lama, ugutan telah dibuat supaya AS memulangkan panda yang dilahirkan melalui pasangan panda yang dipinjamkan.

Satu perkara yang menarik mengenai ketibaan Fu Wa dan Feng Yi adalah ia dilakukan secara terancang sebelum bermulanya lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada hujung bulan ini.

Menarik kerana jika penangguhan sebelum ini ekoran MH370 tetapi penghantaran panda tetap diteruskan walaupun misteri tersebut belum terungkai.

Persoalan yang timbul adalah, apakah panda yang dipinjamkan ke Malaysia itu boleh dianggap sebagai simbolik empat dekad hubungan diplomatik yang terjalin atau pun mempunyai niat yang tersirat, terutama sekali apa yang cuba diunjurkan oleh Beijing.

Ramai yang mungkin membuat kesim­pulan bahawa hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing akan menjadi bertambah erat dan pandangan ini tidak boleh dinafikan terutama sekali ketika era kepimpinan Najib.

Memandangkan China adalah rakan dagang yang penting bagi Malaysia, maka tidak salah juga panda tersebut dianggap sebagai simbolik hubungan ekonomi yang aktif di antara dua negara.

Tetapi kemusykilan yang lebih pen­ting adalah apakah makna ini semua dalam hal kepentingan geostrategik dua negara, terutama sekali yang melibatkan isu pertahanan.

Perlu diberi perhatian bahawa kebangkit­an China terutama sekali dalam hal ehwal ketenteraan di rantau Asia Pasifik paling dibimbangi oleh AS sehinggakan memaksa Washington menggubal strategi yang dikenali sebagai dasar pangsi Pasifik untuk mengekang kebangkitan Beijing.

Lawatan Obama ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina baru-baru ini adalah manifestasi betapa pentingnya rantau ini kepada kedua-dua kuasa besar tersebut.

Perkembangan terkini mengenai tuntut­an bertindih sempadan maritim Laut China Selatan telah mentafsirkan bagaimana China berseorangan tanpa kawan terutama sekali dalam ASEAN.

Pertembungan dengan Vietnam bersangkutan dengan tuntutan kepulauan Paracel minggu lepas dan juga dengan Fi­lipina sebelum ini mengenai Beting Thomas Kedua telah mensahihkan andaian bahawa Hanoi dan Manila tidak akan teragak-agak membabitkan AS dalam pertikaian mereka.

Ketika ini China tidak mempunyai rakan yang ketara di kalangan negara ASEAN ke­cuali Myanmar dan Laos jika isu Laut China Selatan digunakan sebagai pemangkin.

Tetapi perlu diingatkan kedua-dua rakan China ini tidak mempunyai kepenting­an dalam isu tuntutan bertindih dan sebab itu kedua-dua negara tersebut tidak mempunyai pengaruh secara langsung.

Apakah dengan diplomasi panda terbaru ini mungkin juga merujuk kepada percaturan China yang mahu Malaysia menye­belahinya juga tidak boleh ditolak dengan begitu sahaja. Kedua-dua negara masih berdepan dengan tuntutan bertindih yang melibatkan beberapa pulau di gugusan Spratly yang dianggap genting.

Pada 2010 umpamanya beberapa bot Jabatan Perikanan China telah menceroboh perairan negara berdekatan dengan Pulau Layang-Layang sehingga memaksa kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil tindakan menghalau penceroboh tersebut. Paling terkini sudah beberapa kali kapal Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan negara berdekatan Beting Serupai iaitu 80 kilo­meter dari Bintulu.

Satu perkara yang agak menarik, walaupun Malaysia mempunyai masalah tun­tutan bertindih dengan China, Kuala Lumpur tidak pernah mengambil sikap konfrontasi dengan Beijing seperti mana Hanoi dan Manila.

Begitu jelas sekali dasar luar Malaysia adalah berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengambil pendirian berpihak kepada kuasa besar tertentu. Tidak ada sikap prejudis yang telah dipamerkan oleh Kuala Lumpur.

Diplomasi panda Sino-Malaysia adalah manifestasi jelas bagaimana Beijing begitu menghargai pendirian Kuala Lumpur.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20140522/re_01/Diplomasi-panda-Malaysia-China#ixzz32PWt2dir
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s